Kuantan City Garden

KUANTAN – Kuantan City Garden ditutup sementara bermula 5 petang sehingga 9 malam sepanjang Ramadan ini.

Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussain berkata penutupan taman di tengah-tengah bandar raya Kuantan itu bagi membuat pemantauan rapi memandangkan ia baharu sahaja  beroperasi.

Datuk Hamdan Hussain

“Orang ramai tidak dibenarkan untuk berbuka puasa secara santai di Kuantan City Garden namun lokasi lain boleh dikunjungi seperti biasa.

“Kalau pada siang hari Kuantan City Garden buka sehingga pukul 5 sahaja kemudian ditutup pada waktu berbuka. Selepas tarawih pukul 9 buka semula.

“Lokasi santai dan terbuka di tempat lain masih dibuka seperti biasa, antaranya di Padang MBK1, Serambi Teruntum, Menara 188,” katanya.

Jelasnya keputusan itu diambil bagi mencegah aktiviti vandalism berlaku di tempat baharu.

“Lokasi ini daya tarikan baharu, jadi kita letakkan kawalan 24 jam di situ. Bila buka tempat baharu kadar vandalism menunjukkan tinggi, jadi kita kawal.

“Kita perlukan kesedaran tentang menjaga kebersihan sejajar dengan pengiktirafan Kuantan tersenarai antara 10 bandar bahagia dalam negara.

“Walau bagaimanapun orang ramai masih boleh berkunjung Kuantan City Garden pada waktu pagi dan malam seperti biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamdan berkata, MBK mengagihkan bubur lambuk kepada Warga Kuantan secara pandu lalu dengan melalui Dataran Sayangi Kuantan sepanjang bulan puasa ini.

MBK mengagihkan bubur lambuk kepada Warga Kuantan secara pandu lalu dengan melalui Dataran Sayangi Kuantan sepanjang bulan puasa ini bermula jam 3.30 petang sehingga 5 petang

Program Makmur Ramadhan Bandaraya Kuantan itu dijalankan  setiap Isnin hingga Jumaat  bermula semalam sehingga 19 April 2023.

Edaran bermula pada jam 3.30 petang sehingga selesai jam 5 petang  akan dibantu oleh para sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette