Wakil masjid dan surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing bergambar selepas menerima cek cura sumbangan Kerajaan Negeri sempena Ramadan di Restoran Serai, Jaya Shopping Centre Petaling Jaya pada 22 Mac 2023. Foto Pusat Khidmat DUN Bukit Gasing
ADNSELANGOR

Enam surau, empat masjid di DUN Bukit Gasing terima RM24,000 sempena Ramadan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 23 MAC: Sebanyak enam surau dan empat masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menerima sumbangan RM24,000 daripada Kerajaan Negeri bagi menyemarak program Ramadan.

Setiausaha Politik Ahli Dewan Negeri (ADN) berkata setiap masjid menerima sumbangan RM3,000 manakala RM2,000 bagi setiap surau.

“Sumbangan Kerajaan Negeri ini untuk digunakan bagi aktiviti sepanjang Ramadan,” kata M. Kusaaliny ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Pegawai Pusat Khidmat DUN Bukit Gasing Mohd Razman Bakri menyampaikan sumbangan berkenaan kepada 10 wakil masjid dan surau dalam satu majlis di Jaya Shopping Centre.

Dalam perkembangan lain, Kusaaliny memberitahu sebanyak 90 permohonan baucar Jom Shopping Perayaan Aidilfitri diterima pihaknya setakat ini.

“Permohonan masih dibuka kerana kuota kita tahun ini ialah 500 keluarga.

“Majlis penyerahan akan dibuat pada 9 April ini di Giant Hypermarket Kelana Jaya,” tambahnya.

Syarat permohonan ialah pengundi beragama Islam yang berpendapatan bawah RM3,000 serta tidak mendapat baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kadar baucar Jom Shopping Perayaan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 setiap keluarga.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri menganggarkan 82,400 penerima bagi program ini yang akan diperuntukkan sebanyak RM16.8 juta.


Pengarang :