Christopher Patit

MELAKA – Enam lelaki ditahan polis berkaitan kes penipuan tawaran gelaran ‘Datuk Seri’ yang menyebabkan seorang ahli perniagaan di negeri ini kerugian hampir RM400,000 empat tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perintah reman selama empat hari bermula semalam dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Semua suspek berusia antara 33 dan 44 tahun itu ditangkap hasil risikan dan serbuan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan BSJK Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Tangkapan dibuat Selasa lalu di beberapa lokasi di Pulau Pinang,Terengganu, Selangor dan Johor untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, siasatan awal mendapati mangsa ahli perniagaan berusia 63 tahun dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk Fadhil’ dari Istana Negara sekitar 2019.

“Suspek kemudian memaklumkan mangsa akan dianugerahkan pingat daripada ‘Datuk’ kepada ‘Datuk Seri’ dan perlu membayar RM300,000 untuk proses kenaikan anugerah sebelum lelaki itu bersetuju dengan syarat terbabit.

“Mangsa yang hanya berurusan melalui telefon turut mendakwa telah membuat bayaran secara berperingkat sebanyak 13 kali menjadikan jumlah keseluruhan wang RM396,400 dipindahkan ke beberapa akaun bank berbeza diberikan suspek bermula 21 Jun 2019,” katanya.

Tambahnya, pada 30 Mac 2021 suspek menghubungi mangsa dan memberitahu akan menghantar wakil berjumpanya di luar pintu Gate 2 Istana Negara bagi urusan pembayaran baki bayaran sebanyak RM70,000 serta serahan surat tawaran watikah Datuk Seri.

“Mangsa turut menandatangani serta meletakkan cap ibu jarinya ke atas surat tawaran itu sebelum mengetahui ianya palsu selepas membuat semakan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. pepatah Melayu ada mengatakan orang tamak selalu rugi macam anjing dgn bayang bayang. Dah ada title datok tak cukup lagi..Ni nak gelak ke nak nangis

Comments are closed.