Foto Facebook Kelantan United.

KUALA LUMPUR – Kelantan United yang bakal membuat kemunculan dalam saingan Liga Super musim depan dilaporkan sudah mula membuat persiapan dari segi pemain baharu untuk ditandatangani.

Pasukan Pantai Timur itu dikatakan hampir pasti akan membawa masuk dua bekas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) musim ini untuk memperkukuhkan barisan pemain mereka.

Dua pemain yang dikatakan itu ialah Syazwan Zainon serta pemain tengah berkaliber, Khairu Azrin untuk membawa cabaran Kelantan United bagi musim 2023.

Perkembangan itu didedahkan menerusi wartawan sukan, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman Twitter miliknya.

“Syazwan Zainon dan Khairu Azrin yang dilepaskan pasukan Kedah Darul Aman FC bakal menyertai Kelantan United FC dan dua pemain berpengalaman itu difahamkan hanya menunggu masa untuk menandatangani kontrak musim 2023,” jelas beliau.

Sebelum ini, Syazwan Zainon antara tiga bintang senior yang sah tidak akan disambung kontrak mereka bersama Kedah musim hadapan dalam usaha pasukan tersebut untuk menstrukturkan kembali pengurusan pemain.

Untuk rekod, pemain tersebut mencatat 13 penampilan musim ini dalam saingan Liga Super dan hanya memberi sumbangan satu bantuan gol sahaja dengan tiada jaringan direkodkan.

Syazwan juga dilihat sebagai antara pemain yang sering dihimpit dengan isu kecederaan dan khidmatnya sering terlepas untuk beraksi dalam beberapa perlawanan.

Namun, beliau berjaya mencipta dua penampilan musim ini di pentas AFC dengan sebanyak dua penampilan telah dicatat oleh pemain sayap tersebut.

Mengenai Khairu Azrin pula, musim ini menjadi tahun pertama beliau untuk mewakili Kedah dan pemain tersebut berjaya beraksi dengan sangat baik di posisi tengah.

Ketika pemain import iaitu Dechi Marcel mengalami kecederaan, tampil Khairu untuk menggantikan beliau dan memberi sumbangan amat baik di posisi tersebut dengan 15 penampilan dalam Liga Super.

Kemasukan dua pemain ini dilihat sangat penting buat Kelantan United dalam usaha mereka untuk mengukuhkan posisi tengah dan serangan pada musim hadapan. – MalaysiaGazette