Gempa bumi Turkiye: Malaysia antara terawal hantar pasukan SAR

Seramai 70 anggota selamat tiba di Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi. - Foto Bernama
Seramai 70 anggota selamat tiba di Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menjadi antara negara terawal yang tiba di Turkiye bagi membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan negara itu, dengan pasukan berjaya digerak atur dalam tempoh 24 jam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pasukan yang terdiri daripada 70 anggota diketuai Komander Mohd Khairul Jamil itu selamat tiba pada jam 5.50 pagi waktu tempatan (10.50 pagi waktu Malaysia) pada Selasa.

"Mereka akan bergerak ke Lapangan Terbang Adana yang berdekatan dengan ground zero dan di sana mereka akan diselaraskan melalui pusat koordinasi di peringkat kerajaan Turkiye untuk ditugaskan di kawasan pembahagian antara negara terlibat dalam operasi SAR.

"Permintaan daripada kerajaan Turkiye setakat ini bantuan diperlukan ialah berkaitan operasi mencari dan menyelamat di kawasan bandar (USAR) atas sebab itulah kita telah menghantar pasukan SMART,” katanya dalam temu bual eksklusif Misi SMART: Turkiye terbitan Bernama Radio petang Selasa.

SMART yang terdiri daripada pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) dan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) berlepas semalam ke Istanbul menerusi penerbangan Turkish Airlines.

Mohd Armizan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai hubungan baik dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, mengarahkan beliau dan Wisma Putra untuk segera mengkoordinasi pasukan dan bantuan dalam bencana pada Isnin yang meragut 2,379 nyawa setakat ini.

"Atas arahan dan juga atas persetujuan Perdana Menteri kita telah menawarkan khidmat tersebut dan berdasarkan kepakaran SMART yang dikenali dan diketahui di peringkat antarabangsa, kerajaan Turkiye telah luluskan untuk kita menjadi sebahagian daripada pasukan SAR.

"Alhamdulillah kita dapat menggerak dan mengaturkan pasukan kita dalam tempoh 24 jam telah sampai di bumi Turkiye,” katanya.

Beliau berkata, selepas ini pihaknya juga akan bermesyuarat dengan Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur sekiranya terdapat keperluan untuk menggerakkan pasukan Emergency Medical Team (EMT) ke negara itu yang akan diselaraskan bersama Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Petugas Nadma juga katanya, ditugaskan untuk mengumpul maklumat pihak-pihak yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan kepada negara berkenaan sebagai langkah proaktif, namun setakat ini Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur memaklumkan bantuan diperlukan adalah dalam bentuk operasi SAR.

"Bagaimanapun mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan boleh berhubung dengan Nadma atau Wisma Putra atau berhubung secara langsung dengan Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur,” katanya. - Bernama