Aksi pemain Selangor MAC dalam perlawanan persahabatan menentang Terengganu sebagai persiapan menghadapi Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023. Foto Facebook SELANGOR MAC
AGENDASUKANKINI

Liga futsal kebangsaan bermula 18 Feb, misi Selangor MAC pertahan juara

SHAH ALAM, 7 FEB: Selangor MAC akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 dalam kumpulan B bermula 18 Februari.

Skuad kendalian Edgar Baldasso ditelakkan bersama Johor Darul Ta’zim, KL City FC, Kuala Lumpur, PFA Odin Sarawak, Selangor TOT United dan Shah Alam City.

Naib juara Piala Futsal Malaysia musim lalu, Pahang Rangers FC diletakkan dalam kumpulan A bersama ATM, Kedah, KPT-PST Mustangs, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan saingan liga berlangsung dua pusingan dan setiap pasukan akan beraksi sebanyak 12 perlawanan.

“Empat pasukan teratas kumpulan A dan B akan mara ke suku akhir yang berlangsung secara satu pusingan (kalah mati) diikuti separuh akhir. Aksi perlawanan akhir secara timbal balik,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sementara itu, pertandingan Piala Futsal Malaysia (MFC) akan berlangsung pada Ogos dan September selepas saingan liga berakhir.

Menurut FAM, pertandingan akan disertai lapan pasukan iaitu enam pasukan yang layak secara automatik dan dua pemenang pusingan kelayakan.

“Format pertandingan MFC ialah kalah mati secara timbal balik (home dan away) bermula daripada suku akhir, separuh akhir dan akhir,” katanya.


Pengarang :