fbpx

Lagi bot tempatan dikendalikan nelayan warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENAM kru warga asing ditahan ketika mengendalikan bot nelayan tempatan dekat perairan Barat Daya Pulau Kendi semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati dikendalikan lima kru warga asing tanpa permit yang sah semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan dilakukan ketika pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira pukul 11.45 pagi.

Menurutnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 29.5 kilometer barat daya Pulau Kendi iaitu kurang 27 kilometer dari pantai.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot dikendalikan seorang tekong warga tempatan dan lima kru warga Myanmar berumur antara 20 hingga 41 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, lima kru bot ini gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beritahunya, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan menangkap ikan di kawasan larangan mengikut syarat lessen.

“Bot serta kesemua kru ditahan termasuk 500 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah dilakukan sebelum ini,” jelasnya.

Tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI