City nafi langgar peraturan kewangan

City berdepan pemotongan mata, denda dan larangan perpindahan di atas dakwaan melanggar peraturan kewangan EPL. - Foto Agensi
City berdepan pemotongan mata, denda dan larangan perpindahan di atas dakwaan melanggar peraturan kewangan EPL. - Foto Agensi
A
A
A

KELAB Manchester City menafikan dakwaan melanggar peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL) selama sembilan musim antara 2009 hingga 2018.

City juga didakwa melanggar peraturan yang memerlukan mereka membantu dalam siasatan dari kempen 2018/19 hingga musim semasa.

Siasatan terhadap City bermula sejak Disember 2018 dengan Suruhanjaya Bebas akan meneliti penemuan dengan kelab tersebut.

Suruhanjaya itu boleh menjatuhkan hukuman ke atas skuad kendalian Pep Guardiola termasuk penyingkiran daripada EPL hingga pemotongan mata, denda dan larangan perpindahan.

"Manchester City FC terkejut dengan dakwaan pelanggaran Peraturan EPL ini, terutamanya memandangkan pembabitan yang meluas dan sejumlah besar bahan bukti yang dikemukakan.

"Kelab mengalu-alukan semakan semula perkara ini oleh Suruhanjaya Bebas. Ia bagi mempertimbangkan secara saksama dan adil termasuk bukti-bukti yang dikemukakan EPL.

EPL dalam satu kenyataan menyebut City melanggar peraturan yang memerlukan mereka memberikan 'maklumat kewangan yang tepat, memberikan pandangan yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kelab.

EPL juga telah mendedahkan hasil siasatan di laman web rasmi mereka sekali gus berita buruk buat kelab Etihad itu, meskipun pada peringkat ini mereka sudah didakwa tetapi belum didapati bersalah.

Siasatan bermula susulan dokumen yang dibocorkan oleh laman web Jerman, Der Spiegel dengan siasatan fokus kepada tiga perkara utama.

City didakwa kerana gagal mematuhi peraturan EPL yang memerlukan kelab mematuhi peraturan kewangan Fair Play UEFA dari musim 2013-14 hingga 2017-18.

Kelab itu juga gagal mematuhi peraturan mengenai keuntungan dari musim 2015-16 hingga 2017-18.

City juga didakwa gagal memberikan kerjasama dan membantu siasatan.

UEFA mengenakan penggantungan selama dua tahun dan mendenda City £25 juta (RM128.2 juta) pada Februari 2020 atas dakwaan pelanggaran fair play peraturan kewangan.

Bagaimanapun selepas lima bulan kemudian, hukuman itu dibatalkan dan denda terakhir yang dikenakan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan hanya £9 juta (RM46.1 juta).