PARIT BUNTAR: Laporan siasatan mengenai kejadian seorang pemandu pelancong warga tempatan yang maut ditimpa bongkah batu di Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling di sini, minggu lalu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee (gambar) berkata hasil siasatan insiden berkenaan telah dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak yang berlangsung semalam.

“Jadi, laporan siasatan yang diperoleh daripada mesyuarat itu akan dibawa kepada MMK dan akan dibincangkan esok bagi mendapatkan syor-syor dan keputusan daripada pihak berkuasa negeri dan ia akan diumumkan kemudian,“ katanya.

Loh berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai laporan insiden berkenaan semasa menghadiri majlis perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt (MW) dan Penyerahan Surat Tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) kepada 30 penduduk setinggan di rizab Sungai Kerian yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di sini hari ini.

Pada 8 April lalu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun, maut akibat ditimpa batu di kawasan perkampungan itu dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 11.30 pagi.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Pulau Pangkor sedang membawa rakannya warga Vietnam melawat tempat pelancongan tersebut.

Susulan itu, kawasan pelancongan berkenaan ditutup sementara sehingga laporan penuh insiden itu disiapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.