Yang Jauh Dekatkan, Yang Dekat Dirapatkan… Manfaatkan Masa Ziarah Keluarga Sahabat Handai – Noraini

KUALA LUMPUR, 16 April – Memasuki Syawal hari ketujuh hari ini, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengajak rakyat untuk memanfaatkan masa dan ruang yang ada untuk mengunjungi keluarga dan sahabat handai.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, perayaan ini sebagai momen terbaik untuk mengeratkan silaturahim apatah lagi buat mereka yang sudah lama tidak bersua muka sementelah kesibukkan dengan tuntutan kerja dan sebagainya.

“… yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan. Sudah menjadi tradisi tibanya bulan Syawal, amalan kunjung mengunjung tidak sama sekali dilupakan. Saya bersama keluarga juga tidak melepaskan peluang menziarahi sanak saudara serta sahabat handai bersempena sambutan Aidilfitri kali ini.

“Alhamdulillah, sesekali berkumpul dan bertanya khabar dapat mengeratkan silaturrahim dan ikatan kekeluargaan yang sedia ada,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut berkongsi amalan ziarah yang turut sama disemarakkan dengan budaya marhaban raya.

Beliau berkata marhaban raya tersebut sinonim diamalkan oleh penduduk di negeri ini.

“Di Johor, ini antara tradisi yang masih bertahan dan kekal diamalkan masyarakat Islam negeri ini setiap kali Syawal tiba, terutama di kampung serta taman perumahan.

“Budaya marhaban ini juga digelar sebagai ‘baraan’ dalam kalangan masyarakat Jawa, bermaksud berjalan atau ziarah beramai-ramai dalam kumpulan pada hari raya disemarakkan dengan marhaban,” uajr beliau.

Marbahan tersebut disertai beliau bersama Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong bagi menziarahi rumah Ketua Wanita UMNO Cawangan-cawangan, ahli jawatankuasa (AJK) Wanita UMNO Bahagian serta veteran Wanita UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.