in

Kes Tembakan KLIA: Cabut Lari Ke Kelantan, Polis Dakwa Suspek Nak Lari Ke Makkah Melalui Thailand

Ft Suspek Kes Tembak Isteri

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Polis tidak menolak sebarang kemungkinan terhadap suspek yang cuba menembak isterinya di Terminal 1, KLIA baru-baru ini mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, daripada rampasan yang dibuat, pihak polis menemui sejumlah wang tunai dalam mata wang Riyal dan Baht daripada suspek, Hafizul Hawari selepas ditahan petang semalam.

Artikel berkaitan : [TERKINI] Suspek Tembakan Di KLIA Ditahan Di Kota Bharu

Artikel berkaitan : Polis KLIA Bakal Guna Skuter Elektrik, Syor Langkah Keselamatan Dipertingkat

Menerusi Berita Harian, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria bersama 33 butir peluru hidup, mercun bola, enam telefon bimbit, pasport dan empat kad pengenalan milik orang lain dalam rampasan tersebut.

Screenshot 2024 04 16 130538

“Saya tidak menolak kemungkinan berkenaan (suspek mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand) berdasarkan wang tunai dalam mata wang asing yang dirampas. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan.”

“Kita percaya suspek memang mahu melarikan diri ke luar negara. Bagaimana kaedah suspek mahu melarikan diri, itu masih dalam siasatan.”

Jelasnya, suspek yang berusia 38 tahun itu dikatakan sampai ke Kelantan pada petang kelmarin selepas waktu Zuhur.

 

‘Check in’ hotel guna IC orang lain

Suspek dikatakan pergi ke sebuah hotel dengan mendaftar masuk menggunakan identiti orang lain menerusi kad pengenalan dan ia menyebabkan kehadirannya itu gagal dikesan.

“Hasil siasatan juga mendapati selepas kejadian, suspek tidak berjumpa sesiapa dan terus menuju ke Kelantan sebelum menginap di sebuah hotel.”

“Oleh itu, kita percaya suspek bergerak sendirian tanpa dibantu individu lain. Kereta yang digunakan suspek juga masih sama, iaitu Honda Civic. Namun, suspek menukar nombor plat bagi mengelak pergerakannya dikesan.”

Screenshot 2024 04 16 130616

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pasukan yang membantu menyelesaikan kes berkenaan.

“Syukur, kes ini selesai dengan aman, selain tiada pihak yang cedera (dalam proses berkenaan). Saya berterima kasih kepada semua, termasuk Ketua Polis Negeri yang terbabit dengan kawasan sempadan,” katanya.

Terdahulu, Hafizul yang memakai baju lokap berwarna ungu, tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi tadi dengan diiringi empat pegawai, termasuk anggota polis.

Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan untuk membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sumber : Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.