Suspek kes tembak KLIA tiba di Selangor menaiki pesawat PDRM

Suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Teminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia, Subang, Selangor pada Selasa. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Teminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia, Subang, Selangor pada Selasa. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SUBANG - Suspek kes tembak di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, dibawa ke Selangor untuk siasatan lanjut di negeri itu, pada Selasa.

Suspek yang berpakaian lokap warna ungu itu tiba dengan menaiki pesawat ringan milik polis jenis King Air B300 di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia, di sini kira-kira jam 2.15 petang.

Suspek diiringi pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Turut kelihatan bersama suspek ialah Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain serta pegawai kanan polis kontinjen Selangor.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di lokasi ketibaan, suspek yang memakai pelitup muka berjalan dengan menundukkan muka sebelum dibawa masuk menaiki kereta polis.

Sinar Harian juga difahamkan suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen Selangor untuk siasatan lanjut.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan suspek, Hafizul Hawari ditahan polis selepas mengambil laporan kesihatan di sebuah hospital swasta di Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jam 3 petang, pada Isnin.

Susulan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan dan kini direman tujuh hari sehingga 22 April.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, Ahad, suspek telah melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan KLIA dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu jemaah umrah.

Bagaimanapun, satu das tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan dilaporkan parah.

Suspek kemudian terus melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis di Kota Bharu, Kelantan.

Siasatan awal polis dipercayai kejadian bermotifkan perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.