KUALA LUMPUR - Hubungan bilateral Malaysia bersama Indonesia perlu dioptimakan sepenuhnya dalam memastikan industri perniagaan terutama perniagaan mikro, kecil dan sederhana (SME), diletakkan pada medium yang tepat.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno berkata, visi itu berjaya dilakukan JNJ Management Consultants (JNJ Group) (Malaysia) menerusi jalinan kerjasama dengan OK OCE (Indonesia).
Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) itu berlangsung di Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, di Jakarta, Indonesia, Isnin lalu.
Sandiaga ketika ditemui optimis kerjasama itu mampu berperanan sebagai platform untuk merancakkan perkembangan industri keusahawanan tempatan kedua-dua negara.
“Saya amat menghargai kerjasama dilakukan oleh dua syarikat yang juga kesinambungan kepada lawatan kerja saya ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Permeteraian perjanjian antara kedua-dua syarikat mampu meningkatkan kapasiti usahawan, terutamanya ultra mikro di bidang industri kreatif dan pelancongan,” katanya di sini.
Jelas Sandiaga, Indonesia menyasarkan 4.4 juta peluang pekerjaan tahun depan dan JNJ telah membimbing lebih 150,000 usahawan SME.
“Kami mendapat maklumat bahawa sehingga kini OK OCE juga telah melahirkan lebih daripada 600,000 usahawan ultra mikro.
“Kita akan saling memberi sokongan kepada lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan. Kita juga mengharapkan ekonomi akan segera bangkit,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif JNJ Group, Fauziah Husain berkata, kerjasama berkenaan disasarkan untuk membentuk komuniti digital antara dua negara, yang akan mendapat akses kepada sumber kepakaran serta infrastruktur bagi membantu perkembangan usahawan tempatan dalam merintis perniagaan masing-masing.
“Kita menyesuaikan dan melengkapi struktur yang dilaksanakan OK OCE. Mereka memfokuskan kepada pembangunan sosial diikuti komuniti sebelum membangunkan sesuatu perniagaan.
“Sementara daripada Malaysia, kita akan membawa perniagaan yang berpotensi untuk bekerjasama dengan komuniti sebelum mencipta satu gerakan sosial.
“Mungkin kita datang dari arah dan pendekatan yang berbeza, namun kerjasama bermanfaat buat semua pihak dapat dibentuk melalui Digital Serumpun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Umum OK OCE, Iim Rusyamsi berpandangan, kerjasama itu dapat memperluas usaha melahirkan lebih banyak usahawan ultra mikro merentasi dua negara.
“Melalui platform Digital Serumpun, kami berharap akan mendorong perkembangan industri berkaitan usahawan tempatan melalui jaringan yang utuh.
“Ini tentu sahaja membuka peluang luas untuk usahawan ultra mikro menjangkau pasaran yang lebih besar, sekali gus mencipta peluang pekerjaan yang lebih banyak antara Indonesia dan Malaysia,” katanya. - Getaran, 24 Mac 2023