fbpx

Dugaan rumah musnah malam pertama Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Hafizah dan Airish melihat keadaan rumah mereka yang hangus dalam kebakaran di Taman Merdeka Jaya, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Seorang ibu tunggal dan dua anak lelakinya hilang tempat berteduh dalam sekelip mata selepas kediaman mereka hangus dalam kebakaran di Taman Merdeka Jaya di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, anak sulung mangsa, Airish Zaquwan Affizi, 15, yang berada di dalam kediaman berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Nor Hafizah Nor Azli, 40, ketika kejadian dia bersama anak bongsunya, Azrief Zaffuwan, 12, sedang membantu berniaga keropok lekor di bazar Aidilfitri MITC di Ayer Keroh sebelum dihubungi Airish.

“Dalam pukul 11 lebih macam itu, saya ada rasa tak sedap hati dan menghubungi Airish, tapi tidak berjawab.

“Tidak lama kemudian, Airish menelefon semula saya sambil menangis meminta maaf berkali-kali sambil memberitahu rumah kami hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di Taman Merdeka Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, dia yang seakan-akan tidak percaya dengan berita tersebut kemudian meminta anaknya membuat panggilan video untuk melihat sendiri keadaan rumah mereka.

“Saya terduduk bila tengok api marak di dalam rumah, namun syukur Aiirish sempat menyelamatkan diri.

“Habis semua terbakar, paling saya sedih tengok adalah baju sekolah anak-anak dan buku mereka, kini kami hanya tinggal sehelai sepinggang,” ujarnya sayu.

Tambahnya, dia bagaimanapun reda dengan ujian yang menimpa pada hari pertama Ramadan itu dan merancang untuk duduk menumpang di rumah abangnya yang berdekatan.

Dalam pada itu Airish ketika ditemui memberitahu, kejadian berlaku ketika dia sedang tidur di ruang tamu dan terjaga selepas terhidu asap tebal.

“Saya nampak api marak di dalam bilik tidur dan semakin menjulang tinggi ke atap, saya terus keluar meminta bantuan jiran untuk menghubungi bomba kerana telefon bimbit hampir kehabisan bateri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Melaka, Ashwad Abd. Rahim turut melawat keluarga tersebut bagi menghulurkan bantuan awal dan membantu menyediakan kediaman sementara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI