PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan sejumlah 15,387,338 pengundian dibuat oleh rakyat Malaysia.

Daripada jumlah itu, 5,874,719 undian diberikan kepada Pakatan Harapan (PH), manakala 9,611,619 undian pula diberikan kepada bukan PH.

Gambaran sebenar undi yang ditunjukkan daripada suara dan pilihan rakyat adalah sangat jelas iaitu mencerminkan sentimen "No Anwar, No DAP!".

Tetapi, kita asyik mendengar dakwaan yang satu parti telah memenangi jumlah kerusi terbanyak dan memperolehi undi popular tertinggi namun telah 'dirompak' daripada membentuk kerajaan.

Realitinya, keputusan PRU15 mengesahkan bahawa naratif sedemikian tidak benar.

Seramai 15,387,338 rakyat Malaysia telah membuang undi pada 19 November lalu.

Ini adalah daripada jumlah 21,173, 638 mereka yang layak mengundi. Hanya 72.2 peratus yang mengundi.

Daripada jumlah itu, hanya 5,875,719 telah mengundi Pakatan Harapan bersama parti komponennya DAP dan MUDA, yang menyokongnya.

Bakinya sejumlah 9,611,619 atau 72 peratus pengundi tidak mengundi PH, DAP dan MUDA.

Ya, mereka mengundi untuk yang lain.

Hakikatnya, majoriti rakyat tidak mahu PH bersama DAP dan MUDA membentuk kerajaan. Jumlah pengundian sebenar pada PRU15 tidak menipu.

Jika memang PH yang dimahukan rakyat, sudah tentu lebih 50 peratus daripada rakyat akan mengundi PH.

PH pastinya akan mempunyai lebih daripada majoriti mudah 112 Ahli Parlimen di bawah panji pakatan itu bersama-sama DAP dan Amanah.

Hakikatnya, PH telah gagal untuk meyakinkan lebih daripada separuh rakyat Malaysia untuk memberikan mereka mandat sebulat suara dan tidak berbelah-bahagi untuk membentuk kerajaan baharu.

Mereka tidak boleh menerima Anwar dan DAP untuk memimpin negara ini.

PH dan penyokongnya harus bertanya kepada diri sendiri kenapa mereka gagal untuk  meyakinkan sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa calon PM mereka dan Ahli Parlimen mereka cukup baik untuk diberikan sokongan dan keyakinan yang tidak berbelah-bahagi untuk membentuk kerajaan. Kenapa?

Ya, PH mungkin baik untuk 38 peratus rakyat Malaysia, tetapi tidak cukup baik untuk majoriti 72 peratus yang tidak mengundi mereka.

Jadi PH jangan cuba mengelirukan rakyat bahawa mereka mendapat sokongan majoriti rakyat.



* Najmuddin Mahmood ialah  Naib Presiden Persatuan Anak Melayu Johor (Wilayah Persekutuan & Selangor).

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.