Polis Miri lakar kejayaan dalam tiga Ops

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman melihat hasil rampasan daripada pegawainya di IPD Miri.

MIRI, 18 Mac: Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri baru-baru ini berjaya menumpaskan sindiket curi bateri pencawang telekomunikasi dan curi motorsikal.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, pada awal bulan Januari tahun ini, JSJ Miri telah menerima sebanyak enam laporan kehilangan bateri pencawang telekomunikasi yang berlaku di sekitar Bekenu dan Batu Niah sehingga ianya menjejaskan rangkaian komunikasi di kawasan tersebut malahan ianya juga turut menyebabkan syarikat telekomunikasi mengalami kerugian beratus ribu ringgit.

“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk ke dalam pencawang telekomunikasi yang boleh membawa hukuman pemenjaraan tidak melebihi lima tahun dan denda,” ujarnya dalam satu sidang media.


Ekoran daripada laporan tersebut, katanya, satu operasi dinamakan Op Lusuh telah dilancarkan bagi mengesan suspek kes kecurian bateri pencawang telekomunikasi.

“Operasi ini telah membuahkan hasil dengan tertangkapnya empat orang lelaki tempatan berusia antara 17 sehingga 27 tahun yang merupakan dalang utama dalam kegiatan curi tersebut dan termasuk seorang pemilik kedai lusuh turut ditangkap kerana membeli barangan curi,” katanya.

Kesemua 65 biji bateri yang dilaporkan hilang telah berjaya ditemui semula oleh pasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri.

Selain itu juga, OP Lejang turut dilancarkan bagi mengesan sindiket kecurian motosikal daerah Miri di mana kes kehilangan motosikal telah mencatatkan peningkatkan sebanyak 33 peratus iaitu lapan kes dilaporkan bagi tempoh Januari/Februari 2023 berbanding ebam kes sahaja dicatatkan pada Januari/Februari 2022, Azman berkata.

Hasil maklumat risikan dan operasi yang dilancarkan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri sekali lagi berjaya menumpaskan dan menangkap seramai lima orang lelaki tempatan yang merupakan suspek utama di dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah Miri manakala tiga orang lelaki warganegara asing turut ditangkap kerana dipercayai membeli barangan curi.

Dalam operasi tersebut, sebanyak tujuh buah motosikal yang dipercayai barangan curi telah dirampas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor yang boleh dihukum dengan pemenjaraan tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak melebih tujuh tahun serta dikenakan denda.

Kesemua suspek yang ditangkap dalam OP Lusuh dan OP Lejang ini telah berjaya dituduh di Mahkamah Miri pada Februari 27 yang lalu.

Dalam masa yang sama, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 telah membuat serbuan ke atas sebuah premis di kawasan Permyjaya pada 17 Mac, yang disyaki terlibat dengan penjualan rokok dan minuman keras tanpa cukai dan menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga premis tersebut.

“Hasil serbuan tersebut, pihak PGA telah berjaya membuat rampasan 240 botol minuman keras, 2,040 tin bir pelbagai jenama dan 1,740 karton rokok pelbagai jenama tanpa cukai. Rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM 344, 258.30,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily