KUCHING: Beberapa kawasan di sekitar Bandaraya Kuching dan Siburan mengalami banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam bermula jam 6 pagi tadi.

Sehingga jam 10 pagi, tinjauan Astro AWANI mendapati, antara kawasan yang dinaiki air termasuk kawasan Jalan Green, Jalan Satok, dan Batu Tiga.

Malah terdapat sebuah kereta terkandas dalam banjir ketika melalui laluan bawah tanah di bulatan Batu Tiga.

Bagaimanapun menurut saksi, mangsa dapat menyelamatkan diri.

MetMalaysia dalam pemaklumannya pada jam 6 pagi tadi meramalkan Kuching dan Samarahan akan berhadapan ribut petir yang berlanjutan hingga petang.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah mengatur gerak pasukannya ke lokasi yang dinaiki air.

Jurucakapnya berkata, pemantauan secara berterusan dilakukan dan pihaknya bersedia untuk membantu urusan pemindahan penduduk yang terjejas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya perlu.