Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Polis percaya pertubuhan haram Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) yang digempur dalam operasi khas Op Selendang di sekitar Dungun dan Kuala Terengganu pada Khamis hingga Sabtu lepas, terlibat dalam aktiviti keganasan dan gangsterism.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan mendapati, sebahagian daripada 21 suspek ditahan yang juga terdiri daripada dua pegawai dan 12 anggota polis, berperanan sebagai ejen pengutip hutang Ah Long dan aktiviti tarik kereta secara haram.

Beliau berkata, pertubuhan AHK yang dipercayai memiliki antara 200 hingga 300 ahli di sekitar Dungun itu, juga dikesan mengutip wang perlindungan daripada ahli bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang, sekiranya melakukan kesalahan.

“Kita dapati ada ahli kumpulan yang kita tangkap terlibat dengan kes berunsur keganasan. Contohnya menjadi orang tengah untuk kutip hutang Ah Long dengan guna kekerasan dan proses tarik kereta haram.

“Bagaimanapun tidak semua anggota polis yang ditahan terlibat secara langsung dengan perlakuan jenayah. Tetapi menjadi ahli pertubuhan haram pun sudah menjadi satu kesalahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut Rohaimi berkata, 10 anggota polis yang ditangkap telah ditahan kerja bermula semalam dan dua lagi anggota masih direman sehingga esok, manakala dua pegawai sedang menunggu tindakan daripada pihak Bukit Aman.

“Tujuh suspek orang awam yang ditahan dalam Op Selendang, termasuk ketua pertubuhan yang berusia 39 tahun, masih direman sehingga esok.

“Siasatan mendapati anggota polis yang ditahan terlibat dengan pertubuhan itu sejak 2021. Bagaimanapun pertubuhan itu dipercayai aktif sebelum tempoh itu lagi,” katanya.

Rohaimi berkata, dalam serbuan itu polis merampas lapan buah kereta, lapan senjata tajam dan 28 telefon bimbit untuk siasatan.

Selain itu katanya, beberapa barangan lain seperti al-Quran, kain kapan dan selendang yang digunakan untuk upacara baiah, kad ahli, pelekat kenderaan dan pakaian yang mempunyai logo pertubuhan, turut dirampas.

Rohaimi berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 7(1) Akta bahan kakisan, letupan dan senjata berbahaya 1958. – Bernama