Operasi cari warga emas jatuh laut ditamatkan

Pangkalan hadapan Carilamat di Jeti Awam Tanjung Sepat, Selangor dibubarkan susulan Op Carilamat ditamatkan pada jam 7 malam, Selasa.
Pangkalan hadapan Carilamat di Jeti Awam Tanjung Sepat, Selangor dibubarkan susulan Op Carilamat ditamatkan pada jam 7 malam, Selasa.
A
A
A

KLANG - Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan seorang lelaki warga emas dipercayai terjatuh ke dalam laut di Jeti Awam Tanjung Sepat, Kuala Langat, ditamatkan pada jam 7 malam, Selasa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, Pangkalan hadapan Carilamat di Jeti Awam Tanjung Sepat, Selangor dibubarkan.

"Mangsa masih belum ditemui setelah hari keempat Op Carilamat dan kita akan meneruskan operasi itu sekiranya menemui petunjuk baharu.

"Pemantauan berterusan juga dilaksanakan oleh aset-aset yang beroperasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kata beliau, keseluruhan keluasan pencarian adalah 95.58 batu nautika persegi.

"Maklumat juga telah disalurkan kepada pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) bagi pencarian di perairan Indonesia, sekiranya mangsa dijumpai di perairan negara berkenaan," katanya.

Siva Kumar berkata, usaha pencarian itu melibatkan 109 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan serta agensi.

"Pencarian sepanjang empat hari melibatkan aset dari Maritim Selangor dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Banting, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan komuniti Maritim setempat," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan, Muniandy dipercayai jatuh ke dalam laut selepas anaknya menemukan motosikal, pakaian berupa kain sarung serta selipar milik Muniandy di hujung jeti kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu.

Muniandy yang bekerja sebagai penimbang kelapa sawit kali terakhir dilihat memakai baju kemeja biru muda dan berseluar pendek warna coklat sebelum dilaporkan hilang di jeti berkenaan.