JASIN: Polis memburu seorang lelaki warga tempatan yang melarikan diri dari Penjara Pusat Koreksional Jasin, di sini petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, kehilangan banduan berusia 43 tahun itu disedari oleh warden penjara berkenaan kira-kira pukul 2.20 petang.

Katanya, suspek merupakan tahanan kes samun dan sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan tersebut.

“Pihak polis menerima laporan pada jam 7.03 malam yang mana difahamkan semasa pengadu berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB) giliran awal Pusat Koreksional Jasin, pengadu telah dimaklumkan suspek telah menghilangkan diri.

“Pakaian terakhir yang digunakan suspek ialah baju banduan berwarna hijau dan juga berselipar,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut ujarnya, sejurus menerima laporan polis menggerakkan pasukan bagi membantu mengesan suspek.

“Pihak polis kemudian telah memulakan gerakan mencari banduan berkenaan dan siasatan berhubung kejadian itu juga sedang dilakukan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membantu dengan menyalurkan maklumat berkaitan suspek kepada pihak polis atau menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.