Foto: FB Anwar Ibrahim

ANKARA – Türkiye pada Selasa memanggil Duta Belanda ke Ankara, Joep Wijnands berikutan “serangan keji” terhadap al-Quran di The Hague.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji seorang anti-Islam di The Hague, Belanda pada 22 Januari yang menyasarkan kitab suci al-Quran,” menurut kenyataan Kementerian Luar Türkiye, lapor Agensi Anadolu.

“Sebelum ini perbuatan keji itu berlaku di Sweden, kali ini berlaku di Belanda, perbuatan yang menghina nilai suci kita dan mempunyai unsur kebencian, jelas menunjukkan bahawa Islamofobia, diskriminasi dan xenofobia yang tidak mengenal sempadan di Eropah,” menurut kementerian itu.

Perbuatan itu secara langsung menyasarkan hak asasi dan kebebasan, nilai moral dan toleransi sosial bukan sahaja umat Islam malah seluruh umat manusia dan boleh membawa kemudaratan terhadap budaya serta amalan menjalani kehidupan bersama secara aman.

“Kami berharap pihak berkuasa Belanda mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku kejadian itu dan melaksanakan langkah konkrit untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang,” menurut kenyataan itu. – Bernama