Polis memburu seorang banduan lelaki yang dipercayai melarikan diri dari Program Reintegrasi Penghuni Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, Jasin, Melaka petang tadi.

JASIN – Polis memburu seorang banduan lelaki yang dipercayai melarikan diri dari Program Reintegrasi Penghuni Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, di sini, petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, kehilangan Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, 44, disedari pegawai bertugas di penjara berkenaan kira-kira pukul 2.20 petang.

Menurutnya, banduan terbabit merupakan tahanan yang sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan tersebut.

“Laporan kehilangan banduan itu diterima polis pukul 7.03 petang tadi oleh pengadu yang menyedari kehilangan suspek semasa dia berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB) giliran awal Pusat Koreksional Jasin.

“Pakaian terakhir yang digunakan lelaki itu ialah baju banduan berwarna hijau serta memakai selipar,” katanya ketika dihubungi, di sini, malam ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman

Mengulas lanjut Mohd Fadzli berkata, sejurus menerima laporan pihak polis segera menggerakkan pasukan bagi membantu mengesan suspek.

“Operasi mencari banduan terbabit sedang giat dilakukan termasuk siasatan berhubung kejadian ini yang disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan suspek di mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya – MalaysiaGazette.