Manchester United kelab idaman pemain bintang

TEN HAG
TEN HAG
A
A
A

ERIK ten Hag percaya Manchester United lebih mudah untuk mendapatkan pemain berkualiti pada jendela perpindahan akan datang walaupun terdapat ketidakpastian berterusan mengenai pemilikan kelab itu.

Ten Hag mengakui sukar meyakinkan pemain untuk menyertai United pada jendela perpindahan pertamanya di kelab itu walaupun berjaya memujuk Casemiro dari Real Madrid dan beberapa pemain lain seperti Christian Eriksen, Antony, Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia.

United tahu mereka perlu aktif dalam jendela perpindahan akan datang terutama untuk mencari penyerang baharu bagi mengurangkan beban Marcus Rashford selain mendapatkan pemain tengah, pertahanan kanan dan penjaga gol.

Pemilik United, Keluarga Glazer masih belum memuktamadkan pembida yang akan mengambil alih kelab itu, namun ten Hag percaya United mempunyai tarikan kepada pemain.

"Saya melihat perbezaan besar berbanding tahun lalu. Terdapat banyak alasan sewaktu saya bercakap dengan pemain pada tahun lalu dan kini, ramai pemain sudah dapat lihat projek ini, apa yang sedang berlaku, dinamik dan hala tuju projek ini, terutama kualitinya. Mereka kini mahu datang ke sini, saya dapat lihat perkara itu.

"Terdapat banyak keraguan ketika kami mendekati pemain tahun lalu. Tahun ini, ramai pemain berkualiti yang benar-benar mahu datang ke sini," katanya.

United masih belum mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan tetapi dengan kejayaan memenangi Piala Liga Inggeris dan akan bersaing dalam final Piala FA, ten Hag menegaskan pemain kini akan berebut untuk menyertai Manchester United.