NEW DELHI: Kerajaan India memaklumkan pihaknya bersedia menghantar pasukan mencari dan menyelamat bagi membantu Turkiye menangani kesan gempa bumi itu.

"Dua pasukan NDRF (National Disaster Response Force) terdiri daripada 100 anggota dengan skuad anjing terlatih termasuk peralatan khas bersedia ditugaskan ke kawasan gempa bumi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

"Pasukan perubatan termasuk doktor terlatih dan paramedik siap sedia dengan bekalan ubat-ubatan penting.

"Bahan bantuan akan dihantar dengan penyelarasan Kerajaan Turkiye dan Kedutaan India di Ankara serta pejabat Konsulat Agung di Istanbul," menurut Pejabat Perdana Menteri India (PMO) dalam satu kenyataan pada Isnin.

Turkiye dilanda gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter awal Isnin, menyebabkan ratusan kematian dan kemusnahan berskala besar di wilayah berhampiran sempadan Syria.

Satu lagi gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda wilayah Kahramanmaras lewat Isnin, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye.

Banyak bandar di Syria juga mengalami kehilangan nyawa dan kerosakan yang besar.

Gegaran turut dirasai sejauh Greenland, menurut Kajian Geologi Denmark dan Greenland.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata ini adalah bencana terbesar yang pernah dialami negara sejak gempa bumi Erzincan pada 1939.

-- BERNAMA