PHNOM PENH: Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan mengesahkan kemaraan ke final dengan bergaya selepas membenam Thailand 5-0 pada aksi ketiga saingan liga sepusingan temasya Sukan SEA 2023 di padang hoki Stadium Nasional Morodok Techo di sini, hari ini.

Pada pertembungan itu, Malaysia yang meraih kemenangan dalam dua aksi pertama terpaksa menunggu sehingga minit ke-12 untuk memecah kebuntuan gol selepas Shahmie Irfan Suhaimi menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Lima minit berselang, gol padang Muhammad Najib Abu Hassan menjadikan kedudukan 2-0 sebelum skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim semakin selesa mendahului menerusi jaringan padang Shahmie Irfan pada minit ke-20.

Menghampiri suku ketiga, giliran Mohammad Haris Iskandar Osman mencetak nama sebagai penjaring menerusi gol padang pada minit ke-30 dan Shahmie Irfan melengkapkan hatrik serta kemenangan bergaya pasukan negara hasil penyudah gol padang pada minit ke-49.

Kejayaan mengatasi Thailand itu menyaksikan anak buah Muhammad Amin mencatat kemenangan ketiga berturut-turut untuk menerajui saingan liga dengan mengumpul sembilan mata menjelang aksi terakhir bertemu Indonesia esok.

Selepas tiga perlawanan, Indonesia yang turut mengesahkan tempat ke final kini berada di kedudukan kedua dengan mengumpul tujuh mata diikuti tempat ketiga Thailand (tiga mata), Singapura (satu mata) dan Kemboja tercorot tanpa sebarang mata.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan yang menamatkan saingan liga sepusingan di kedudukan teratas layak ke final untuk membuat perhitungan merebut pingat emas.

Bercakap kepada Bernama selepas perlawanan hari ini, Muhammad Amin gembira dengan persembahan yang ditunjukkan pasukannya, namun berharap para pemain dapat mengekalkan konsistensi sehingga ke pentas final.

"Kalau lihat memang kita diramalkan untuk menang semua perlawanan dan layak ke final, saya rasa untuk tiga aksi pertama pasukan sudah buat kerja dengan betul dan ada lagi dua perlawanan sebelum kita betul-betul boleh menerima kalungan emas di leher, kita perlu fokus pada dua perlawanan terakhir dengan Indonesia.

"Bagi saya apa yang paling penting adalah konsistensi, kalau pasukan konsisten dalam setiap perlawanan dengan taktikal yang diterapkan saya rasa kita akan bermain setiap perlawanan itu dengan mudah," katanya.

Malaysia merupakan kuasa besar hoki pada temasya Sukan SEA dengan memegang rekod memenangi 16 pingat emas sejak edisi 1971 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA