PHNOM PENH: Kutipan pingat emas yang dilihat agak perlahan mungkin meletakkan Malaysia di ambang bahaya menggapai sasaran 40 emas pada Sukan SEA 2023 sebelum kesemua acara menutup saingannya, Selasa ini.

Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali mengakui walaupun sedikit cemas dengan situasi tersebut, namun beliau tetap optimis peluang masih ada bagi Malaysia untuk mencapai sasaran diletakkan sebelum ini.

"Masih ada beberapa hari lagi, kami tak hilang keyakinan malah apa pun boleh berlaku, kami tak akan putus asa dan berjuang sehingga saat akhir," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa menyaksikan acara badminton di Dewan Badminton Morodok Techo, di sini, hari ini.

Justeru, beliau mengharapkan sukan seperti judo, sepak takraw, angkat berat mahupun jet ski untuk mencipta magis sekali gus melegakan kontinjen negara untuk menepati sasaran ditetapkan.

"Kita cuba nasib pada sukan yang tidak dijangka, hari ini kita telah menghantar TImbalan Ketua Kontinjen Datuk Shalin Zulkifli untuk meninjau kem jet ski di Sihanoukville walaupun kita tahu mereka baru pertama kali bertanding (Sukan SEA).

"Sukan tempur kita juga kuat seperti apa yang dipamerkan karate, silat dan taekwondo, harap judo juga beri kejayaan," katanya.

Sehingga semalam (12 Mei), Malaysia berjaya merangkul 28 emas termasuk empat daripadanya disumbangkan karate, diikuti empat daripada silat dan dua taekwondo.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar skuad hoki padang lelaki dan wanita tidak terlalu yakin walaupun mereka diletakkan sebagai pilihan utama menyapu bersih kedua-dua kategori kali ini.

Beliau pada masa sama juga mengakui nasib ternyata tidak menyebelahi skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita selepas kedua-dua mereka yang diletakkan harapan tinggi membawa pulang emas hanya merangkul perak.

Katanya, skuad kriket lelaki juga tidak berupaya menepati sasaran tiga emas diletakkan susulan tindakan tuan rumah menyenaraikan pemain import dari India dan Pakistan yang sememangnya merupakan kuasa besar kriket dunia.

Skuad hoki dewan lelaki dan wanita masing-masing tumpas kepada Indonesia dan Thailand menerusi penentuan penalti shoot out, 2-1 manakala skuad kriket lelaki pula gagal menyaingi Kemboja yang mengecewakan mereka pada saingan 50-overs dan Twenty20I (T20I).

Walaupun kesemua acara menamatkan saingan pada Selasa ini, namun Sukan SEA akan melabuhkan tirai secara rasmi pada Rabu ini (17 Mei).

-- BERNAMA