SUNGAI SIPUT: Sebuah replika ketupat terbesar berketinggian 16.46 meter (m) dengan lebar 13.41m di Kampung Bahagia di sini akan dijadikan antara tarikan Tahun Melawat Perak 2024, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membina replika ketupat tersebut yang dimulakan pada 3 April lepas manakala bakinya ditaja penduduk kampung itu.

Menurut Loh, replika ketupat itu antara inisiatif untuk Tahun Melawat Perak 2024 dengan keunikannya membolehkan pelancong bergambar dan memuat naik di laman media sosial masing-masing.

"Kampung Bahagia adalah kampung Melayu di tengah-tengah Sungai Siput, ini (replika ketupat terbesar) bagi mengekalkan tradisi orang Melayu dan mengapa (sebab) kita memilih motif ketupat," katanya selepas merasmikan Ketupat Terbesar dan Sambutan Hari Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong di Padang Rekreasi Kampung Bahagia di sini, malam tadi.

Sementara itu, Loh berkata, sasaran kemasukan 500,000 pelancong luar negara yang akan mengunjungi bandar raya Ipoh hingga hujung tahun ini sempena Tahun Melawat Ipoh 2023 oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah tepat.

"Sasaran yang diumumkan oleh MBI amat bertepatan. Semalam kita berada di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan kita telah berbincang dengan menteri (Datuk Seri Tiong King Sing), beliau amat menyokong usaha kerajaan negeri, namun kami tidak boleh mengumumkan peruntukan dan sumbangan yang diberikan kerana perlu ada dokumen rasmi," katanya.

Pada 11 Mei, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sasaran itu adalah berdasarkan pencapaian hingga April lepas yang menyaksikan kira-kira 50,000 pelancong luar mengunjungi bandar raya tersebut, iaitu peningkatan 10 kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID-19. - BERNAMA