Kerajaan Negeri Melaka kekal, tidak ikut Persekutuan - KM

Kerajaan Negeri Melaka kekal, tidak ikut Persekutuan – KM

SULAIMAN Md. Ali ketika sidang akhbar Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka tidak akan mengikut komposisi parti yang menganggotai kerajaan Persekutuan, sebaliknya mengekalkan barisan kepemimpinan sedia ada.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, situasi di peringkat Persekutuan dan negeri adalah berbeza memandangkan kerajaan negeri ditubuhkan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu.

Jelasnya, apa yang berlaku pada peringkat Persekutuan tidak akan terpakai di Melaka.

“Kita bertanding dahulu di semua (kerusi Dewan Undangan Negeri) dan kita menang. Sekarang ini (situasi) Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbeza, jadi hanya terpakai di peringkat Persekutuan sahaja.

“Negeri (Melaka) tidak ada isu dan akan terus kekal seperti mana sekarang ini. Ini terpakai kepada mana-mana negeri seperti Perak dan kemungkinan Pahang. Tetapi di Melaka tidak, sebab kita sudah buat PRN lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan di Melaka, selepas Barisan Nasional (BN) menganggotai kerajaan Persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH).

Pembentukan kerajaan perpaduan turut berlaku di Perak melibatkan PH dan BN, berkemungkinan juga sama di Pahang.

Terkini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah menjadi Perdana Menteri Ke-10. Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman menegaskan, jika situasi pasca PRU15 masih lagi sama, tidak mustahil keadaan sama akan berterusan sehingga PRU16 kelak.

“Tiada satu parti pun yang boleh membentuk kerajaan, tetapi mereka ini (PH dan Perikatan Nasional) yang mempunyai kerusi lebih banyak sepatutnya menjadi kerajaan. Kita tidak boleh jadi pembangkang kalau tidak ada kerajaan. Mujur ada Rukun Negara yang menjadi panduan semasa krisis. Tahniah kepada Datuk Seri Anwar kerana telah dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya