Sebuah rumah terbakar di Kota Sentosa

Anggota Bomba memadam kebakaran yang melibatkan sebuah rumah kayu setingkat.

KUCHING, 13 Mei: Sebuah rumah di Jalan Anggerik Tapang, Kota Sentosa di sini dilaporkan terbakar malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.57 malam (Jumaat).

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kayu setingkat yang tidak didiami. Ia telah terbakar 100 peratus.

“Anggota Bomba telah berjaya memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran tiga hos sumber air dari pili Bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Dilaporkan juga tiada mangsa terlibat dalam kejadian.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.12 tengah malam. — DayakDaily