KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui sukar bagi kontinjen Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas pada temasya Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja.

Mohamad Norza bagaimanapun yakin sekiranya kontinjen negara meningkatkan prestasi sudah pasti mereka mampu melakukan magis bagi menambah koleksi pingat emas sedia ada memandangkan temasya dwitahunan itu berbaki empat hari lagi sehingga Rabu ini.

"Saya rasa susah tapi seperti dekat-dekat sama macam situasi dekat Hanoi (Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada tahun lepas).

Saya berharap baki hari yang tinggal ini mereka mampu untuk bekerja lebih keras bagi memastikan kita mampu menambah lagi pingat emas," katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (BAM) di sini hari ini.

Malaysia ketika ini berada di tangga ketujuh carta pingat setakat 4 petang tadi dengan memungut 28 pingat emas, 36 perak dan 66 gangsa berbanding dengan sasaran 40 emas, 37 perak dan 64 pingat gangsa.

Selain itu, Mohamad Norza berpendapat Malaysia kini seharusnya fokus kepada sukan yang menawarkan lebih banyak pingat emas seperti olahraga dan renang ketika menyertai temasya sukan.

"Saya rasa skuad olahraga mempamerkan peningkatan di temasya kali ini. Kali terakhir di Hanoi mereka tidak berada pada prestasi sebenar dan kali ini kita lihat atlet muda, mereka menyumbang pingat emas.

Bagaimanapun untuk renang, ia berbeza. Jadi saya harap Renang Malaysia boleh melakukan sesuatu selepas ini. Hal ini kerana bila kita menyertai temasya sukan banyak emas akan hadir dari renang dan olahraga," katanya.

-- BERNAMA