BAM mahu Choong Hann baiki prestasi pemain

Choong Hann
Choong Hann
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menggesa Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu prestasi perseorangan negara yang dilihat tidak menyerlah sejak penghujung tahun lepas.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, aksi pemain perseorangan lelaki dan wanita semakin merudum selepas ABM dikendalikan secara profesional bermula November lepas.

"Memang skuad perseorangan tidak menyerlah (selepas BAM melepaskan ABM). Ahli majlis telah meluahkan kekecewaan semasa mesyuarat tadi terhadap jabatan perseorangan yang diketuai Choong Hann.

"Justeru, kita mahu Choong Hann menilai semula keadaan jabatan tersebut bagi melihat bagaimana untuk memastikan prestasi pemain-pemain boleh kembali meningkat. Jadi nanti dia (Choong Hann) kena beritahu kami apa tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung BAM ke-78 di ABM, Bukit Kiara, pada Sabtu.

Sebelum ini, Mohamad Norza berkata, BAM hanya menumpukan tugas-tugas sebagai badan induk badminton negara sementara ABM sebagai pusat prestasi tinggi akan diuruskan sepenuhnya oleh golongan profesional.

"Pada saingan 2022, kita ada memenangi BATC (Kejohanan Berpasukan Campuran Asia) pada Februari, selain skuad Piala Uber layak secara merit. Pada 28 Ogos pula, kita ada juara dunia menerusi Aaron-Soh Wooi Yik.

"Kemudian, kita juga muncul juara Terbuka Perancis menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah pada Oktober selain merangkul pingat emas berpasukan campuran pada Sukan Komanwel Birmingham," katanya.

Sementara itu, Mohamad Norza mengesahkan Ahli Majlis BAM bersetuju untuk menerima peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABM, Michelle Chai, berkuat kuasa hari ini.

"Ahli majlis bersetuju untuk menerima keputusan yang dibuat berhubung peletakan jawatan Michelle. Bagaimanapun, beliau akan membantu pengurusan bagi mencari calon terbaik untuk jawatan CEO itu.

"Michelle sudah buat tugas yang baik sejak memegang jawatan tersebut namun CEO selepas ini perlulah memiliki latar belakang dalam sukan badminton serta reputasi besar yang boleh mengendalikan individu-individu berstatus legenda," ujarnya.

Selasa lepas (9 Mei) Michelle secara sukarela menghantar notis peletakan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif ABM susulan prestasi hambar skuad wanita negara yang tersingkir pada pusingan suku akhir Sukan SEA yang kini berlangsung di Phnom Penh, selepas tewas 0-3 kepada pasukan Filipina.- Bernama