SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) akan melakukan penutupan sementara bekalan air di sebahagian kawasan Seremban dan Kuala Pilah selama 48 jam bermula 31 Jan hingga 2 Feb ini.

SAINS menerusi kenyataan memaklumkan penutupan itu berlaku berikutan kerja penyambungan paip di Kolam Imbangan Batu 5, Seremban, servis serta pembaikan peralatan voltan tinggi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Terip, manakala di Kuala Pilah melibatkan kerja pengalihan paip S-Bend jenis MS berdiameter 750 milimeter (mm) di Kampung Bemban.

"Penutupan bekalan air selama 48 jam di Seremban itu bermula pada 31 Jan (8 pagi) hingga 2 Feb (8 pagi) melibatkan seluruh kawasan Ampangan, Senawang termasuk Paroi, Rasah Jaya, Industri Sungai dan Senawang, Taman Tuanku Jaafar, Bandar Seremban Selatan dan Seremban Jaya, Jalan Ampangan-Kuala Pilah dan kawasan sekitar," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Selain itu, turut terjejas ialah seluruh Sikamat termasuk Taman Desa Rhu, Kampung Ujung Pasir, Taman Warisan Puteri, Kampung Bukit Merbah, Taman Rashibah, Taman Suliana dan Taman Penaga serta beberapa kawasan tinggi di Mantin dan Lenggeng.

Sementara itu, di Kuala Pilah, kawasan terlibat ialah pekan Senaling, Kampung Maasop, Taman Pilah Senaling, Kampung Batang Pilah, Kampung Sri Pilah, Kampung Ulu Pilah, Kampung Sikai, Kampung Gunung Pasir dan Kampung Ulu Senaling.

Turut terjejas, Kolej Matrikulasi Kuala Pilah, Taman Bahagia Delima, Taman Bukit Intan, Taman Selasih, Kampung Batu 46, Sekolah Zaaba, Sekolah Tunku Kursiah, Taman Pendita, Kampung Bukit Temensu dan Kampung Sungai Layang.

Dalam pada itu, sebagai langkah kontingensi, SAINS akan melakukan penghantaran lori tangki dan penempatan tangki statik sekiranya gangguan bekalan air melebihi tempoh penutupan.

-- BERNAMA