Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya menyampaikan sijil penghargaan kepada Wartawan Malaysia Gazette, Kumara Sabapatty pada Majlis Penghargaan kepada Pengamal Media di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis telah telah merakam keterangan daripada 11 individu bagi membantu siasatan berhubung video tular  memaparkan rakaman daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat beli-belah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu berkenaan terdiri daripada kakitangan premis terbabit dan pekerja penyelenggara bangunan.

“Terbaharu polis juga menerima satu laporan polis semalam daripada seorang wanita yang disyaki mangsa kejadian berhubung rakaman video dia sedang menukar pakaian dalam bilik persalinan itu.

“Bertindak atas laporan, kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti siapa yang sebenarnya menjadi dalang dan bertanggungjawab memasang kamera tersembunyi dalam bilik persalinan pakaian dalam butik itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Program Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Pada majlis yang sama, wartawan, videografer MalaysiaGazette, Kumara Sabapatty dan Aizat Md Raus menerima sijil perhargaan daripada IPD Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya menyampaikan sijil penghargaan kepada Juruvideo Malaysia Gazette, Aizat Md Raus pada Majlis Penghargaan kepada Pengamal Media di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2023.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Dellhan berkata, polis setakat ini telah mengenalpasti sebanyak empat video ‘skodeng’ dikesan tersebar di media sosial.

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga memaklumkan pemilik asal akaun Twitter yang bertanggungjawab menyebarkan video ‘tidak senonoh’ itu gagal dikesan sehingga kini.

“Namun polis masih menunggu laporan penuh dari pihak CyberSecurity Malaysia bagi mengesahkan ketulenan rakaman video yang disebarkan itu.

“Polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” tegasnya lagi.

Terdahulu, pada 11 Januari lalu, polis menerima satu laporan berkaitan video tular yang memaparkan rakaman daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat beli-belah yang mengejutkan netizen di media sosial. – MalaysiaGazette