PUTRAJAYA: Sebanyak 2,572 kematian akibat Tuberkulosis atau tibi direkodkan tahun lepas, meningkat 12 peratus atau 284 kes berbanding 2021, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Dalam kenyataan sempena Hari Tibi Sedunia hari ini, beliau berkata sebanyak 25,391 kes penyakit berkenaan dilaporkan pada tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 3,664 atau 17 peratus berbanding 21,727 kes, sepanjang tempoh sama tahun sebelumnya.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar insiden tibi bagi Malaysia adalah 97 bagi setiap 100 ribu penduduk. Namun kadar insiden yang dilaporkan di negara ini adalah lebih rendah berbanding sasaran WHO tersebut," katanya.

WHO menganggarkan terdapat 10.6 juta kes tibi di peringkat global pada tahun lepas.

Beliau berkata usaha meningkatkan kadar pengesanan kes melalui saringan awal perlu dipergiatkan, justeru individu yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti seperti kontak kepada kes tibi, pesakit HIV, penyakit buah pinggang kronik, penyakit pulmori kronik (jenis obstruktif) dan perokok aktif dinasihatkan untuk melakukan saringan.

"Rawatan bagi penyakit tibi paru-paru adalah penting bagi kesembuhan dan mengelakkan komplikasi yang boleh menyebabkan morbiditi dan mortaliti," katanya pesakit yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran, komitmen serta sokongan pelbagai pihak terhadap usaha kawalan dan pencegahan di seluruh negara.

-- BERNAMA