Gara-gara kemaruk gelaran Datuk Seri, ahli perniagaan putih mata ditipu RM400 ribu oleh enam lelaki

Gara-gara kemaruk gelaran Datuk Seri, ahli perniagaan putih mata ditipu RM400 ribu oleh enam lelaki

Polis menahan reman enam lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan tawaran gelaran Datuk Seri hingga menyebabkan seorang ahli perniagaan dari negeri ini kerugian hampir RM400,000 empat tahun lalu.

Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perintah reman selama empat hari bermula semalam itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes.

Menurutnya, suspek berusia 33 hingga 44 tahun itu ditangkap hasil risikan dan serbuan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dan BSJK Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

“Suspek ditangkap pada 21 Mac lalu di Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Johor. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Christopher berkata, hasil siasatan awal pengadu (mangsa) berusia 63 tahun itu menyatakan dia dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Fadhil dari Istana Negara sekitar 2019.

Katanya, suspek menyatakan pengadu dianugerahkan Datuk Seri dan perlu membayar RM300,000 untuk proses kenaikan anugerah, yang mana mangsa bersetuju dengan syarat itu.

“Begitupun mangsa tidak mempunyai dan menandatangani sebarang surat perjanjian mahupun berjumpa suspek dan segala urusan hanya melalui telefon.

“Mangsa mendakwa pembayaran dibuat secara berperingkat sebanyak 13 kali transaksi berjumlah keseluruhan RM396,400 melalui pindahan wang ke beberapa akaun bank berbeza diberikan suspek bermula 21 Jun 2019,” katanya.

Menurutnya, pada 30 Mac 2021 suspek menghubungi mangsa dan memberitahu akan menghantar wakil berjumpanya di luar Pintu 2 Istana Negara bagi urusan pembayaran baki bayaran sebanyak RM70,000 serta serahan surat tawaran watikah.

“Apabila sampai, mangsa didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai istana yang dihantar suspek untuk urusan itu.

“Mangsa turut menandatangani serta meletakkan kedua-dua cap jari ke atas surat tawaran berkenaan sebelum mengetahui ia palsu selepas disahkan oleh dua kenalannya yang juga pengiring rapat istana,” katanya.