Polis buru seorang lagi suspek kes samun warga asing

Rusdi bercakap kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah (IPD) Cheras yang baharu pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN / ROSLI TALIB.
Rusdi bercakap kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah (IPD) Cheras yang baharu pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN / ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis giat memburu seorang lagi individu yang terbabit dalam kejadian samun lelaki warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak pada 7 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, individu tersebut merupakan suspek kelapan dalam kejadian samun itu.

Beliau berkata, suspek adalah orang awam yang dipercayai dapat membantu siasatan dijalankan bagi kes terbabit.

"Pihak polis sedang mengesan dan memburu individu ini yang dipercayai orang awam.

"Kita akan mengedarkan gambar suspek kepada umum, setelah usaha mengesannya di alamat lama tidak membuahkan hasil," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dekat sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Rusdi menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, tujuh individu yang ditahan reman termasuk lima pegawai polis sebelum ini sudah direman maksimum dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut beliau, pihaknya juga berjaya memperoleh semula wang tunai berjumlah RM142,000 dan 27,000 baht (RM3,500) yang dipercayai disamun daripada mangsa.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, siasatan kini dalam peringkat untuk membuat keputusan sama ada boleh dituduh atau tidak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!