Kes penipuan dalam talian catat kerugian RM37.2 juta musim perayaan

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes jenayah penipuan dalam talian pada musim perayaan mencatatkan 871 kes dengan nilai kerugian mencecah RM37.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh bermula 1 hingga 14 April lalu.

"Daripada 871 kes yang direkodkan, jenayah telekomunikasi mencatatkan kes tertinggi dengan 342 kes, diikuti jenayah e-dagang dengan 217 kes.

"Lain-lain kes adalah pelaburan tidak wujud (157 kes), pinjaman tidak wujud (112 kes), jenayah e-kewangan (29 kes) dan love scam (14 kes)," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan 1,465 kes dengan nilai kerugian RM56.7 juta.

Jelasnya, sambutan perayaan dilihat tidak memberikan pengaruh yang signifikan terhadap peningkatan kadar jenayah dalam talian dan JSJK tidak menolak kemungkinan bahawa tahap kesedaran semakin baik dalam kalangan masyarakat bagi aspek pencegahan jenayah.

Mengulas lanjut, kata Ramli, bagi tahun ini sehingga 14 April, JSJK merekodkan 8,913 kes jenayah komersial melibatkan nilai kerugian RM835 juta berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 10,010 kes dan nilai kerugian RM504 juta.

"Kes bagi tahun ini telah mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus, namun nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan yang cukup besar iaitu 66 peratus," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, daripada aspek pertuduhan, sebanyak 4,541 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tempoh terbabit.

"Jumlah ini adalah bersamaan 51 peratus dari kertas siasatan yang dibuka pada tahun ini.

"Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 4,331 pertuduhan atau bersamaan 43 peratus," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!