KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menerima sejumlah 400,000 laporan bagi tempoh Januari hingga November tahun ini membabitkan kesalahan jenayah, narkotik dan komersial.

Daripada jumlah itu, kira kira 67 peratus berjaya dituduh di mahkamah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kejayaan itu sekali gus menjadikannya kontinjen yang paling tinggi jumlah pertuduhan.

"Sebagai ketua, saya bangga kerana JSJ KL telah berjaya mencatat 67 peratus kadar pertuduhan ke atas aduan yang dirujuk.

"JSJK mencatat 73 peratus, JSJN mencatat 97 peratus kadar pertuduhan.

"Sehingga hari ini, Polis KL mencatat pertuduhan tertinggi berbanding kontinjen di seluruh negara dan tentu sahaja untuk kekalkan prestasi ini bukan mudah," kata Azmi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Sukan Polis Kuala Lumpur dan Bersama Rakan Media Tahun 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada 9,200 pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur di atas komitmen mereka menguruskan kesemua laporan yang diterima sepanjang tahun ini.

Beberapa wakil media yang sentiasa menjadi medium komunikasi polis turut diberi penghargaan pada malam berkenaan.

Terdahulu pada majlis berkenaan, beliau menyampaikan anugerah kepada olahragawan dan olahragawati terbaik sukan Polis Kuala Lumpur.

Majlis apresiasi berkenaan julung kali diadakan di peringkat kontinjen dan Polis Diraja Malaysia melibatkan 700 atlet polis bagi 25 acara yang dipertandingkan.