fbpx

20 kertas siasatan kesalahan PRU15 dirujuk untuk pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainol Samah memeriksa perbarisan pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

MELAKA – Sebanyak 20 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, polis turut melakukan dua tangkapan membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, kesalahan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 paling banyak direkodkan dengan tujuh kes membabitkan penyamaran.

“Sementara itu, lima kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan seorang individu ditahan.

“Dua daripadanya membabitkan kes yang disiasat mengikut Seksyen 24(3)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Jelasnya, satu kes masing-masing turut disiasat di bawah Seksyen Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya, Seksyen 427/506, Seksyen 323/506, Seksyen 500 dan 426 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 10 Akta Pilihan Raya.

Dalam pada itu Zainol berkata, kelancaran PRU15 menunjukkan sikap masyarakat yang semakin matang dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa mengakibatkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis Melaka amat berpuas hati dengan perjalanan PRU15 kerana berlangsung dalam suasana yang tenang.

“Hal ini menunjukkan polis amat komited dalam memikul mandat dan tanggungjawab yang diamanahkan demi memastikan keselamatan negara terpelihara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI