Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR — Polis Kuala Lumpur menerima lebih 400,000 laporan mengenai pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik serta komersial dalam tempoh Januari hingga November lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kontinjennya juga mencatatkan kadar pertuduhan tertinggi apabila berjaya membawa aduan tersebut untuk tindakan di mahkamah.

“Sebanyak 97 peratus daripada aduan yang diterima Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik telah dituduh di mahkamah diikuti JSJ Komersial (73 peratus) dan JSJ Jenayah (63 peratus).

“Polis Kuala Lumpur mencatatkan kadar pertuduhan tertinggi berbanding kontinjen lain dan ini perkara yang saya banggakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi Sukan Polis Kuala Lumpur dan bersama rakan media 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada 9,200 pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur atas komitmen mereka menguruskan kesemua laporan polis yang diterima sepanjang tahun ini.

Terdahulu Azmi menyampaikan anugerah kepada olahragawan dan olahragawati terbaik sukan polis Kuala Lumpur melibatkan 700 atlet polis bagi 25 acara Piala Ketua Polis Negara yang dipertandingkan.

Penganjuran majlis itu julung kali diadakan di peringkat kontinjen dan Polis Diraja Malaysia. – BERNAMA